KRONOLOGI COVID-19
KRONOLOGI PANDEMIK COVID-19 DI MALAYSIA
4 Februari
- Malaysia membawa pulang 107 individu yang terdiri daripada
rakyat Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di bandar Wuhan,
yang disekat pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China susulan penularan
wabak 2019-nCoV sejak 23 Januari.
- Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 41 tahun dari
Selangor, antara dua kes baharu yang dilaporkan positif 2019-nCoV dan satu lagi
lelaki warga China berumur 63 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Januari.
- Pertambahan dua kes baharu positif itu menjadikan jumlah
kumulatif kes ialah 10.- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan
menstruktur semula kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM2020) dengan
menyasarkan pasaran negara baharu susulan isu jangkitan coronavirus 2019.
5 Februari
- Sejumlah 74 orang dikenal pasti melalui pengesanan kontak
susulan kes pertama rakyat Malaysia dijangkiti 2019-nCoV. Daripada jumlah itu,
35 kontak rapat dikesan dan sampel diambil daripada mereka serta diletak di
bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.
- Dua daripada 107 individu yang tiba di tanah air menerusi
Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) disahkan positif 2019-nCoV,
menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia ialah
12.
6 Februari
- Seorang wanita rakyat Malaysia menjadi kes pertama
jangkitan tempatan dan wanita warga China dari Wuhan menjadi dua individu
terbaru disahkan positif virus itu, menjadikan jumlah positif 2019-nCoV di
Malaysia ialah 14 kes membabitkan 10 warga China dan empat rakyat tempatan.
7 Februari
- Satu lagi kes positif 2019-nCoV dikenal pasti, menjadikan
jumlah kes positif meningkat kepada 15 dengan kes terbaharu membabitkan
pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China yang masuk ke Malaysia pada
21 Januari.
8 Februari
- Seorang wanita warga China dari Wuhan menjadi individu
terbaharu positif kluster 2019-nCoV, menjadikan angka keseluruhan jangkitan
dalam negara berjumlah 16 kes.
9 Februari
- Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun disahkan positif
2019-nCoV, menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara 17 kes. Wanita
itu adalah ibu mentua kes rakyat Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari,
iaitu kes kesembilan.
10 Februari
- Malaysia mencatat 18 kes positif 2019-nCoV termasuk tiga
kes pulih sepenuhnya. Kes terbaharu membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia
berumur 31 tahun yang bekerja di Macau dan kembali ke Malaysia pada 1 Februari.
11 Februari
- Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan satu
Jawatankuasa Kerja Bersama berikutan penularan jangkitan 2019-nCoV yang
diterajui timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.
12 Februari
- KKM menerima tambahan 26 pengimbas suhu badan yang
ditempatkan di pintu masuk negara, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 80
berbanding 54 sebelum ini.
- WHO mengumumkan COVID-19, yang bermaksud 'Penyakit Virus
Korona' sebagai nama rasmi novel koronavirus 2019.
- Dr Dzulkefly berkata ujian terhadap 550 kontak rapat dan
mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini mendapati 18 disahkan
positif bagi COVID-19.
13 Februari
- Satu lagi kes positif COVID-19 dicatat, menjadikan jumlah
keseluruhan di negara ini meningkat kepada 19. Kes terbaharu membabitkan
seorang wanita warga China berumur 39 tahun, rakan kes ke-14 dan anak kes
ke-16.
14 Februari
- Tiga lagi diuji positif COVID-19 menjadikan jumlah
keseluruhan 22. Tiga kes terbaharu membabitkan seorang lelaki dan seorang
wanita warga China serta seorang wanita warga Amerika Syarikat berumur 83
tahun, yang merupakan antara penumpang kapal persiaran yang singgah di Kemboja
pada 13 Feb.
27 Februari
- Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Interim, mengumumkan
Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi menangani ekonomi daripada kesan penularan
COVID-19.
28 Februari
- Kes baharu COVID-19 di negara ini bertambah tiga,
menjadikan jumlah pesakit yang disahkan positif 25 orang, dengan 22 sembuh dan
dibenarkan keluar hospital.
- Pesakit ke-23 adalah wanita rakyat Malaysia yang kembali
ke tanah air dari Jepun, pesakit ke-24 seorang wanita Jepun berusia 41 tahun
dan bekerja di Malaysia manakala kes ke-25 lelaki Itali berusia 54 tahun yang
berkahwin dengan rakyat Malaysia dan tinggal di negara ini.
1 Mac 2020:
- KKM mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan COVID-19
di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan 29 kes.
- Kes ke-26 adalah berusia 52 tahun dan mempunyai sejarah
perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari, kes ke-27 adalah
jururawat pelatih wanita berusia 20 tahun yang menjalani latihan sangkutan
jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24 manakala kes ke-28
adalah lelaki berusia 45 tahun, rakan sekerja kes ke-25 dan kes ke-29 pula
membabitkan wanita berusia 35 tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta
pada 21 Februari.
3 Mac
- KKM mengesahkan tujuh kes positif COVID-19 membabitkan
warga tempatan menjadikan jumlah terkini ialah 36. Semua kes baharu adalah
kontak rapat kepada kes positif ke-26 pada 29 Februari.
4 Mac
- Sebanyak 14 kes baharu COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah
kes positif di Malaysia meningkat kepada 50. Kes positif COVID-19 ke-31 hingga
ke-50 adalah kontak rapat bagi kes ke-26.
5 Mac
- Lima lagi individu disahkan positif COVID-19, dikenal
pasti sebagai kontak rapat kes ke-26, menjadikan jumlah kumulatif positif virus
itu kepada 55.
6 Mac
- Sebanyak 28 individu disahkan positif COVID-19, menjadikan
jumlah kumulatif 83 kes.
7 Mac
- Sebanyak 10 kes baharu COVID-19 dilapor, menjadikan jumlah
kumulatif 93.
8 Mac
- Enam kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif
positif COVID-19 kepada 99 kes. Semua kes adalah kontak rapat kluster kes
ke-26.
9 Mac
- Sebanyak 18 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah
kumulatif positif COVID-19 di Malaysia ialah 117. Satu daripada kes baharu,
iaitu kes ke-101 membabitkan seorang lelaki yang pulang dari Iran.
10 Mac
- Sebanyak 12 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah
kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia setakat ini 129. Kes positif
membabitkan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat dan
anggota Misi Bantuan Kemanusiaan.
11 Mac 2020:
- Sebanyak 20 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan
menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 149.
12 Mac
- Sembilan kes baharu positif COVID-19 dilaporkan menjadikan
jumlah kumulatif di negara ini ialah 158.
- WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik selepas
mengambil kira peningkatan ketara kes di negara selain China.
- Malaysia belum mengalami kes sporadik COVID-19. Kes ke-131 yang sebelum ini dikatakan sporadik tidak tepat setelah siasatan lanjut yang dijalankan KKM mendapati pesakit adalah antara peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac.
13 Mac
- Sebanyak 39 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan
menjadikan jumlah kumulatif di negara ini meningkat kepada 197. Daripada kes
itu, sebanyak 38 dikesan dalam kalangan PUI jangkitan COVID-19 manakala satu
kes adalah kontak rapat dan empat kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan
serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberi rawatan anti-viral.
14 Mac
- Sebanyak 41 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan
menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 238. Semua kes baharu dikaitkan
dengan kluster perhimpunan tabligh membabitkan 37 kes PUI manakala empat lagi
adalah kontak rapat.
15 Mac
- Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif COVID-19
menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. Berdasarkan siasatan
awal, kebanyakan kes baharu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di
Masjid Sri Petaling.
16 Mac
- Sebanyak 125 kes baharu dilaporkan positif COVID-19
menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553. Sejumlah 95 daripada 125 kes
baharu dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.


Comments
Post a Comment